By Nor Shazleza Shahril
KOTA KINABALU | Seramai 95,386 kanak-kanak atau mewakili 23.19 peratus daripada jumlah kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Sabah setakat ini.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata berdasarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), daripada 4,879 individu yang direkodkan menerima vaksin semalam, 637 daripadanya terdiri kanak-kanak.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mencatatkan 2,406,904 penduduk di Sabah menerima dos vaksin lengkap.
“Daripada jumlah ini seramai 2,090,136 orang atau 76.94 peratus adalah penduduk dewasa, manakala penduduk remaja yang lengkap dos vaksin seramai 316,768 orang atau 74.32 peratus setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan tiga angka.
“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 251 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 366,882 kes.
“Sebanyak dua kes kematian dilaporkan iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu dan Kudat dan bilangan pesakit yang sembuh ialah 1,414 orang menjadikan jumlah kumulatif 349,046 orang.
“Sejumlah 381 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 336 daripadanya di hospital, 44 pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang di fasiliti swasta,” katanya