MENDENGAR ucapan Dato’ Md Alwi Che Ahmad dalam perbahasan menyokong Titah Diraja dalam Sidang DUN kali ini, orang Umno pasti akan keliru.
Apa tidaknya, Alwi cuba menggarap idea yang cukup kontra dengan Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub.
Dia membawakan sejarah tahun 60 atau 70-an di Kelantan yang katanya pimpinan lampau amat kerap berbalah. Bahkan 80-an dan 90-an percakaran antara pemimpin tetap berlaku akibat perebutan kuasa.
“Lama kita berbalah, lama kita bergaduh,” kata beliau yang menatijahkan ‘negeri kita tertinggal’.
Kemudian Alwi mengambil contoh pula jemputan pimpinan Sabah kepadanya yang meminta pandangan serta buah fikiran. Kehadiran mantan-mantan Ketua Menteri Sabah seperti Yong Teck Lee, Harris Salleh, Bung, Hajiji dan beberapa yang lain.
Sabah negeri yang besar, telah melahirkan ramai pemimpin-pemimpin hebat. Tetapi Sabah tetap ketinggalan, tiada ‘highway‘ dan ‘dam‘. Sabah yang begitu kaya tertinggal dalam aspek kemudahan asas negeri.
Kenapa berlaku semua ini tanya Alwi kepada pimpinan Sabah yang kemudiannya dia menyamakan pula situasi Kelantan dengan Sabah. Miskin dan ketinggalan katanya.
Soalan Alwi mendapat jawapan mudah daripada Sabahan leaders iaitu, “Because we fight among ourselves”. Kita bergaduh sama kita. Kerja kita berebut kuasa kata Alwi lagi.
“Kelantan ada Menteri Sumber Air, Menteri Tenaga, Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Pertanian, kita ada Council of Ministers di Kelantan, inilah masanya, walaupun masanya pendek, untuk sama-sama membangunkan Kelantan”.
Terpana seketika kita mendengar ucapan berapi-rapi Dato’ Alwi. Ada benarnya kata-kata laungan kerjasama, kerja bersama-sama, usaha sama dan banyak lagi ‘sama-sama’ yang lain.
Namun, tidak lama kemudian kita tersedar daripada ulitan keasyikan ucapan itu. Kita ingat siapa yang putuskan Muafakat Nasional Kelantan pada Januari lalu iaitu Umno itu sendiri.
Kita juga ‘kabar‘ bahawa miskinnya Kelantan dan Sabah adalah dua benda berbeza yang berpunca sama. Di Sabah dahulu Umno yang memerintah cukup lama, kenapa baru hari ini Alwi bertanya mana ‘highway dan dam‘?
Manakala di Kelantan, segala projek dan prasarana rakyat, pembangunan negeri, geran serta dana Persekutuan, ada yang Umno sekat agar tidak turun ke Kelantan. Itu cerita 30 tahun dahulu.
“Saya nak mengakui hari ini satu masa dahulu, puak-puak kita ni adalah sedikit sebanyak situ sekat sana sekat. Itu hakikat. Saya mengaku wat salah, kita royak salah, ada sedikit sebanyak… saya mengaku, saya mengaku”.
Demikian pengakuan Dato’ Mustapha Mohamed di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan yang menjelaskan kepada umum bahawa Kerajaan Pusat memang telah melakukan sekatan pembangunan untuk Negeri Kelantan dahulu.
Ucapan lama beliau itu masih boleh dilihat dalam semua media sosial dan banyak ‘channel‘ YouTube.
Dengan beberapa perkara di atas, saya kira rakyat ‘jangan tidur dalam perut Umno’ dan jangan mudah terlena dek ulitan ucapan Alwi.
Kalau pun Alwi ikhlas, kata-katanya sedang menghilir, sedangkan tindakan Jazlan mudik ke hulu.
MOHD HUSHAIMI HUSSIAN
Darulnaim Research Centre