BACHOK | Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun hilang tiga jari kanan selepas terkena mercun bola dalam kejadian di belakang rumah di Lembah Beris Kubur Besar, Tawang, di sini, semalam.
Kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa turut pecah gegendang telinga dikejarkan ke Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar.
Terdahulu, sekeping gambar seorang lelaki yang cedera di tangan kanan yang sedang mendapat rawatan di klinik tular di aplikasi WhatsApp pada 12 tengah hari, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata, susulan itu, hasil semakan dengan Pegawai Kesihatan Daerah Bachok mengesahkan gambar itu adalah seorang pesakit remaja yang cedera selepas terkena mercun bola.
“Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar menerima pesakit itu pada 4.45 petang semalam dan hasil rawatan awal mendapati tahap kecederaan di bahagian tangan kanan mangsa serius akibat bahan letupan.
“Terdapat kesan luka di leher akibat percikan bahan bakar yang berada di tahap satu dan keadaan mangsa stabil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, ekoran daripada itu, mangsa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut termasuk telah menjalani pembedahan membuang ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah.
“Gegendang telinga mangsa juga telah pecah dan telah dirujuk ke pakar dan masih mendapatkan rawatan serta di bawah pemerhatian doktor pakar,” katanya.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok menubuhkan pasukan pemantau terdiri daripada dua pegawai dan lapan anggota untuk memantau dan meninjau bagi mengesan aktiviti bermain mercun ini.