KOTA BHARU | PAS sentiasa terbuka mengadakan kerjasama politik dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS tidak ada masalah untuk menjalin kerjasama politik demi kepentingan orang Melayu dan Islam.
Katanya, parti itu sentiasa terbuka untuk bersama-sama UMNO dan boleh duduk berbincang asalkan ia membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
“UMNO boleh menilai semula pendirian mereka sebelum ini dan kembali bekerjasama dengan PAS.
“Malah, PAS juga terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti politik yang lain untuk kepentingan ummah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohd Amar berkata, PAS juga tidak menarik sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, jika PAS mahu khianati UMNO, parti itu sudah tarik sokongan kepada UMNO, begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak tarik sokongan terhadap UMNO.
“Kita sanggup duduk bersama UMNO demi penyatuan ummah. Walaupun UMNO buat macam tu dekat kita, namun kita tidak simpan dendam dalam hati.
“Orang tuduh PAS macam-macam kerana ada dalam MN dan bersama Pakatan Nasional (PN). Jadi apa masalah PAS ada dalam PN dan MN?
“PAS juga memikirkan kepentingan ummah kerana mahu halang Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan sebab mengikut pengalaman sebelum ini, sudah perit selama 22 bulan dengan PH,” katanya.