KOTA BHARU | Bagi memperkasakan pengeluaran pelbagai produk, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mengadakan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat swasta tahun ini.
Pengerusi LKTN, Ab Aziz Ab Kadir berkata, pihaknya juga mensasarkan penanaman sebanyak 10,000 hektar tanaman itu tahun hadapan.
Katanya, bagi mencapai sasaran berkenaan, LKTN mengadakan MoU dengan beberapa syarikat swasta antaranya Dallis Enterprise dalam pembuatan tilam dan Eadeco Non-Woven Sdn Bhd dalam pembangunan aplikasi produk dan pemasaran produk kenaf ke pasaran global.
“Kita juga menjalin kerjasama dengan Syarikat KMDI Holding Sdn Bhd bagi membangunkan ladang kluster kenaf dalam industri pembinaan.
“Industri kenaf juga melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa melalui Syarikat Kenaf Ventures Global Sdn Bhd dengan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat PT Kenaf Fiber Global (Indonesia) dalam penanaman kenaf dan pembangunan produk bersama tiga universiti dari Jerman dan United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat LKTN di sini, hari ini.
Ab Aziz berkata, setakat ini, penanaman kenaf di negara ini adalah sebanyak 2,000 hektar yang membabitkan tanaman secara kecil-kecilan oleh petani.
“Tanaman berkenaan juga mengeluarkan hasil sebanyak 10,000 tan setahun untuk diproses dan dijadikan pelbagai produk,” katanya.