KUALA PERLIS | Sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang menyeludup keluar minyak petrol ditahan pada jarak lebih kurang 1.1 batu nautika daripada barat pantai Pulau Ketam, di sini, semalam.
Bot berkenaan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis pada jam 6.34 petang.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, hasil maklumat risikan, intipan dan pemantauan berterusan berjaya membongkar aktiviti penyeludupan minyak petrol oleh bot nelayan tempatan di sekitar perairan Perlis.
Katanya, Zon Maritim Kuala Perlis mengatur gerak pasukan operasi ke sekitar lokasi dan mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang sedang mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan keluar dari muara Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand sekitar jam 6.15 petang.
“Sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, suspek memecut laju bagi meloloskan diri dengan menuju ke sempadan perairan Thailand, namun kecekapan bot ronda Maritim Malaysia berjaya memintasnya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot, menemukan 14 tong berisi kira-kira 350 liter petrol dengan nilai RM2,100 yang disembunyikan dalam petak simpanan ikan dan satu tong gas memasak bernilai RM180 yang turut disembunyikan di tempat simpanan ais disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak petrol dan diesel dengan niat melakukan kesalahan menjualnya tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Beliau berkata, suspek, bot serta hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin sangkut, minyak petrol dan tong gas memasak dianggarkan sekitar RM17,280.
“Modus operandi dikenal pasti menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut serta menyembunyikan barang dalam petak simpanan ikan,” katanya.