TANAH MERAH | Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan warga Kemboja berjaya ditahan sepasukan Polis Daerah Tanah Merah, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, tangkapan dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam pada 10.30 malam semalam.
Katanya, menurut laporan yang diterima, terdapat tiga buah kereta dalam keadaan mencurigakan berada ditepi jalan Kampung Nibong, di sini.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Balai Polis Nibong Tanah Merah telah pergi ke lokasi dan setibanya di jalan simpang tiga Kampung Nibong telah terserempak dengan sebuah kereta proton Persona dan dua Proton Waja yang cuba berpatah balik.
“Pihak polis bertindak menghalang laluan di hadapan simpang dengan kenderaan pasukan dan berjaya menahan ketiga kereta tersebut, bagaimanapun tiga pemandu telah bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran Pengkalan Haram Macang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setelah membuat pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut mendapati terdapat 16 warga asing terdiri daripada seorang perempuan dewasa, 12 lelaki dewasa yang berusia antaran 30 hingga 45 tahun dan tiga kanak-kanak lelaki yang berusia 10 hingga 14 tahun.
Katanya, kesemua warga asing bersama tiga kenderaan tersebut telah dibawa ke Balai Polis Nibong, di sini, untuk tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat yang dilakukan, mereka mendakwa akan dihantar ke Skudai, Johor untuk bekerja di sana. Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Atipsom 2007 / 6(1)(c) Akta Imigresen
1959/69.
“Polis Kontinjen Kelantan, khususnya daerah-daerah yang bersempadan dengan negara jiran akan terus mempertingkatkan risikan dan maklumat serta memperketatkan kawalan di lapisan kedua dan ketiga kawasan sempadan antarabangsa bagi mengekang kemasukan pendatang asing secara tidak sah,” katanya.