KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya bendera peribadi Baginda dikibarkan separuh tiang selama lima hari berturut-turut bermula hari ini di Istana Negara.
Menurut Pengelola Bujaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, ianya sebagai tanda berkabung Baginda atas pemergian Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, ke Rahmatullah semalam.
Katanya, Baginda turut menitahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan selama tiga hari bermula hari ini.
“Bacaan Yasin dan tahlil ini adalah untuk dihadiahkan kepada Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
“Baginda turut mengajak rakyat mendoakan agar roh Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Fadil berkata, semalam, Baginda telah menghubungi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menerusi panggilan telefon untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi Baginda kepada beliau dan seluruh keluarga.
Katanya, Baginda dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada tahun 1978 dan 1979, dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.
“Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai hubungan dua hala yang rapat dan mesra di pelbagai peringkat, termasuk kedua-dua pemimpin negara dan sesama rakyat.
“Baginda berkenan berangkat ke Abu Dhabi esok (Ahad, 15 Mei 2022) untuk bersama-sama ketua-ketua negara dan kerajaan lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.
“Istiadat penghormatan terakhir Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ni (14 Mei) hingga 16 Mei 2022,” katanya.