BACHOK | Permohonan untuk pertukaran guru boleh dibuat sepanjang tahun pada masa ini berbanding sebelum ini hanya dua kali setahun sahaja.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, permohonan pertukaran itu boleh dibuat menerusi sistem baharu yang dikeluarkan.
Katanya, ia susulan garis panduan baharu dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggantikan garis panduan yang dikeluarkan pada 1975.
“Kalau dulu, pengumuman untuk pertukaran guru adalah dua kali setahun, tetapi sekarang kita umum empat kali setahun.
“Jika dahulu, permohonan pertukaran memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini mereka hanya dibenarkan untuk memberi ulasan sahaja. Guru besar dan pengetua tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.
Radzi berkata, guru yang berjaya dalam permohonan pertukaran bagi 2021 adalah sebanyak 55 peratus daripada keseluruhan permohonan.