KOTA BHARU | Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa yang mendakwa telaga jejari di negeri ini gagal berkali-kali.
AKSB dalam satu kenyataan berkata, telaga jejari untuk Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong berjaya beroperasi pada kadar reka bentuk 17 juta liter sehari (JLH).
Katanya, telaga jejari LRA Wakaf Bharu dan LRA Kampung Chap masing-masing beroperasi pada kadar 24 JLH dan 11 JLH. Bagi meningkatkan pengeluaran, air mentah tambahan diperolehi dari telaga tiub dan bukannya air sungai sebagaimana yang didakwa.
“Terdapat dua telaga jejari untuk LRA Kampung Telok dan berjaya beroperasi pada kadar reka bentuk 32 JLH dan kapasitinya adalah 30 JLH, tetapi pada masa ini hanya berupaya menghasilkan air terawat yang menepati piawai Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak 10 JLH sahaja.
“Sementara itu, LRA Kampung Chap dan LRA Meranti Baru menggunakan sistem rawatan air Chemiles, manakala LRA Taman Telok Mesira adalah sistem NR Cavitation yang direka bentuk oleh sekumpulan saintis tempatan yang berpangkalan di Pengkalan Chepa serta dikategorikan sebagai projek perintis oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
“Pembangunan LRA Taman Telok Mesira dan LRA Meranti Baru dibuat secara rundingan terus oleh AKSB yang diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Kelantan. Sistem NR Cavitation dan sistem Chemiles adalah hak mutlak syarikat yang dilantik,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menafikan tuduhan ke atas cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Labok, Machang sebagai hendak habiskan duit.
Katanya, TAPS dibina untuk mengumpul air sungai sebagai sumber air mentah untuk LRA serta tebatan banjir.