KOTA BHARU | Kerajaan Kelantan mengambil serius dan prihatin dengan kejadian individu terjun Sungai Kelantan di jambatan Sultan Yahya Petra di sini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah melahirkan kebimbangan dengan situasi itu.
Katanya, susulan itu, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan termasuk faktor menyebabkan kejadian itu.
“Mungkin kejadian berpunca daripada masalah tekanan dan suasana ekonomi selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Untuk mengelakkan kejadian itu, kita akan bincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk cadangan pembinaan dinding atau pagar di jambatan Sultan Yahya Petra itu untuk mengelakkan kes individu terjun Sungai Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Amar berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan semua pihak kerana kes itu serius dan membabitkan orang Islam.
Beliau berkata, kejadian terjun sungai itu bukan sahaja berlaku di jambatan itu, malah di jambatan Pulau Pinang.
“Dia macam ini Pulau Pinang (jambatan) orang terjun juga. Cuma kita tengok dulu macam mana termasuk mendapatkan pandangan-pandangan daripada semua pihak. Jika perlu menaikkan dinding, kita akan buat dan akan bincang dengan JKR,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berusia 46 tahun dipercayai hilang selepas terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra di sini, pada 12 tengah hari kelmarin.