GEORGETOWN | Mayat disyaki individu terjun jambatan pertama Pulau Pinang kelmarin, ditemukan terapung berhampiran perairan Pulau Rimau di sini, pagi tadi.
Mangsa ditemukan lebih kurang jam 9.40 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Operasi Carilamat yang masuk hari ketiga dihentikan selepas Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan daripada Balai Polis Perai memaklumkan penemuan itu oleh nelayan tempatan lebih kurang jarak 2.3 barat daya Pulau Rimau.
Katanya, Bot Perkasa 1221 serta aset agensi sahabat yang terlibat diatur gerak ke lokasi penemuan .
“Mayat mangsa dibawa oleh Pasukan Polis Marin (PPM) ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk proses pengecaman dan sanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Maritim Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PPM Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Pertahanan Awam yang turut serta membantu dalam operasi itu.
Menurutnya, operasi hari ketiga dengan pembahagian lima sektor pencarian dengan keluasan 34.8 batu nautika persegi ditamatkan pada jam 1 tengah hari.
“Maritim Malaysia ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil langkah terburu-buru sebegini sekiranya menghadapi sebarang masalah dan rujuk pihak yang berkaitan dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.