NEW DELHI | Mahkamah Agung India menarik balik perintah tempatan yang melarang penganut Islam melakukan solat secara berjemaah tanpa had di sebuah masjid di utara negara itu.
Perintah itu dikeluarkan sehari selepas sebuah mahkamah tempatan di Varanasi mengarahkan solat berjemaah di masjid itu dihadkan kepada 20 orang.
Mahkamah agung dalam perintah sementara menegaskan hak penganut Islam untuk bersolat tidak boleh diganggu sama sekali.
Malah, mahkamah pada masa yang sama memaklumkan kawasan peninggalan agama Hindu juga harus dilindungi.
Ia berikutan sebuah pasukan penyelidikan juga mendakwa menemukan peninggalan dewa dan simbol berkaitan agama Hindu di masjid bersejarah.
Penemuan peninggalan itu susulan lima wanita memfailkan permohonan di mahkamah tempatan bagi membolehkan mereka melakukan ritual di salah satu tapak dengan mendakwa sebuah kuil Hindu pernah didirikan di kawasan tersebut.
Perselisihan faham mengenai hak untuk beribadat di masjid itu susulan protes selama beberapa dekad oleh aktivis Hindu untuk menunjukkan bangunan utama binaan Muslim di India terletak di atas tapak suci.
Pertikaian yang berlaku 30 tahun lalu membawa kepada rusuhan ganas.
Masjid Gyanvapi merupakan antara beberapa masjid di utara Uttar Pradesh yang didakwa oleh segelintir penganut Hindu bahawa ia dibina di atas kuil Hindu yang dirobohkan.
Mahkamah agung akan meneruskan pendengaran kes daripada pempetisyen penganut Hindu dan Islam pada minggu ini. – SUMBER: REUTERS