KOTA BHARU | Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Machang-Pasir Puteh di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa,
Ahmad Zarriq Ahmad Zulkhairee, 24, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan dan kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang selepas memancing di Pasir Puteh.
Katanya, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dan sebaik sampai di lokasi kejadian, sebuah treler yang belum dikenal pasti melanggar mangsa di laluan bertentangan.
“Mangsa telah digilis treler dan diseret sehingga cedera parah serta meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Punca kejadian dipercayai disebabkan kecuaian pemandu treler yang hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.