MACHANG | Seorang warga emas lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 50 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, berhampiran stesen minyak Batu 31 di sini, semalam.
Kemalangan jam 6 petang, mangsa, Haron Che Yeh, 80, yang menunggang motosikal SYM maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pemandu kereta jenis Proton Persona berusia 37 tahun datang dari arah Kuala Krai menghala ke Machang.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal yang ditunggang oleh mangsa keluar dari simpang di sebelah kiri jalan secara mengejut tanpa beri isyarat dan terus melintas di laluan sah.
“Pemandu kereta tidak sempat menekan brek lalu melanggar menyebabkan mangsa melambung dan jatuh ke laluan arah ke Kuala Krai.
“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami di bahagian kepala, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Motosikal mangsa remuk dan cermin kereta sebelah kiri serta but hadapan kemek,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata,berdasarkan siasatan awal, punca kejadian dipercayai disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang keluar dari simpang di kiri jalan secara mengejut tanpa beri isyarat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
