LANGKAWI | Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bakal memiliki bangunan sendiri yang akan dinamakan ‘House of Kedah Football’.
Menteri Besar, Dato’ Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejajar dengan usia KFA 100 tahun pada 2024, persatuan itu sewajarnya memilik bangunan dan prasarana sendiri.
“Kesempatan ini saya tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan KFA terdahulu yang banyak memberi sumbangan bagi membangunkan KFA.
“Legasi mereka akan kita bersama-sama teruskan. Saya juga mengucap terima kasih kepada syarikat-syarikat yang menyumbang bagi mewujudkan bangunan KFA,” katanya ketika merasmikan Majlis Malam KFA 2022 di The Danna Langkawi semalam.
Beliau juga berharap pentadbir dan pengurusan teknikal KFA berubah ke arah lebih profesional setanding dengan kemodenan industri bolasepak sekarang.
Oleh itu kata beliau KFA perlu menumpukan kepada pembangunan jurulatih dan pengadil yang berkualiti.
Sanusi yang juga Presiden KFA berkata, semua persatuan bola sepak perlu memainkan peranan melahirkan pemain yang berkualiti untuk dibekal kepada pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
“Selaku Menteri Besar dan Presiden KFA, saya menyeru syarikat korporat dan agensi kerajaan membantu KFA supaya sukan bolasepak di Kedah terus meningkat sejajar perkembangan semasa,” kata beliau. – SUMBER: HARAKAH