KUALA LUMPUR | Polis menahan dua lelaki warganegara tempatan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan jenama ‘WET’ malam kemarin.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, serbuan dilakukan pada jam 11.55 malam di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Cheras, Batu 5, Kuala Lumpur.
Katanya, sebuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras setelah menerima maklumat.
“Hasil serbuan kita berjaya menahan dua lelaki warganegara berumur dalam lingkungan 31 hingga 46 tahun yang memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di kondominium tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 0.25 gram.
“Ujian saringan awal air kencing (urin) mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan telah berjaya merampas (1) beg warna hijau yang mengandungi (1) pucuk pistol warna hitam dipercayai tiruan tanpa kelopak jenama `WET di dalam kabinet dapur rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kataya, reman ke atas kedua-dua suspek ini telah dibenarkan selama (1) hari bermula 3 Jun 2022 dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk melengkapkan siasatan.
“Pihak Polis Cheras menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki senjata tiruan dengan sengaja kerana tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Senjata 1960.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di sekitar daerah Cheras, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.