LUMUT | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan di kedudukan kira-kira dua batu nautika barat daya muara Sungai Belukang, di sini, semalam.
Turut ditahan dalam operasi jam 9.30 pagi itu adalah dua tekong bot berusia 49 dan 65 tahun.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Sembilan.
Katanya, hasil pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati, bot yang berpangkalan di Bagan Pasir Laut, Perak itu dikendalikan dua tekong warga tempatan.
“Sebuah bot tanpa pendaftaran itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah.
“Manakala sebuah lagi bot disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat sah lesen,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, pihaknya juga menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika barat Pulau Talang sekitar jam 4.25 petang, 3 Jun lalu.
“Bot yang dikendalikan oleh dua kru dan tekong warga Thailand berusia antara 39 hingga 52 tahun disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari darat dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tinggal di Malaysia tanpa memiliki permit yang sah.
“Kesemua bot serta kru diiring ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kampung Acheh, Perak untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.