PETALING JAYA | Perdana Menteri memberi jaminan negara akan terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi melibatkan perdagangan serta pelaburan dengan Arab Saudi.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu merupakan antara isu yang dibincang dengan Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal Farhan yang mengunjungi pejabat beliau baru-baru ini.
“Kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan lagi tahap kerjasama dua hala dengan menubuhkan Majlis Koordinasi Arab Saudi-Malaysia (SMCC).
“Kami membincangkan usaha untuk mengaktifkan semula inisiatif penubuhan Majlis Perniagaan Arab Saudi-Malaysia dalam masa terdekat.
“Kami juga membincangkan isu-isu lain seperti kuota haji, pendidikan, pelancongan dan lain-lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Awal Jun lalu, Putera Faisal mengadakan lawatan sulung rasmi selama dua hari bagi terus merangka hala tuju hubungan Malaysia-Arab Saudi yang sedia kukuh sejak sekian lama lagi.
Negara Islam terbesar Asia Barat itu merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dan juga sumber import paling besar dalam kalangan negara-negara dari rantau berkenaan.
Jumlah dagangan Malaysia dan Arab Saudi sepanjang tahun lalu bernilai RM17.56 bilion di sebalik pelbagai cabaran semasa penularan pandemik yang masih lagi berlaku ketika itu. – SUMBER: UTUSAN