BACHOK | Lebih 6,000 pengunjung serbu Program Jom Masuk IPT Fasa 2 (ZON 6) yang berlangsung di Dewan Tuanku Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok.
Program selama dua hari itu bermula 11 hingga 12 Jun bertujuan menyampaikan maklumat tepat pemilihan jurusan pengajian kepada ibu bapa dan pelajar.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, sebanyak 60 pempamer yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, agensi kerajaan seperti Perbadanan Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pendidikan Politeknik, Kolej Komuniti mengambil bahagian.
Katanya, UMK turut menawarkan program pengajian di sembilan fakulti bagi tiga kampus iaitu di Kampus Kota, Bachok dan Jeli.

“Sebagai sebuah universiti keusahawanan, UMK berharap pelajar memilih bidang yang sesuai untuk menyambung pengajian dan berjaya memperolehi peluang kerjaya apabila bergraduasi kelak.
“UMK juga berjaya membuktikan keupayaan dalam melahirkan ramai graduan yang berjaya dalam bidang keusahawanan termasuk berdaya maju dalam bidang perniagaan,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Program Jom Masuk IPT dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff.
Nik Maheran berkata, sesuai dengan pusat ilmu, UMK tampil sebagai penganjur membawa IPT yang berminat untuk menawarkan peluang pengajian dalam konteks pusat sehenti bagi sumber maklumat yang diperlukan ibu bapa dan pelajar.