TUMPAT | Seorang bapa berusia 57 tahun ditahan selepas disyaki merogol anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun sejak tiga tahun lalu.
Lelaki berkenaan ditahan pada jam 3 petang semalam di kawasan Jalan Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu di sini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.09 pagi tadi yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
Katanya, menurut laporan, ketika mangsa berada di dalam bilik pada jam 12 tengah hari pada 9 Jun lalu, ayah kandungnya datang dan memaksa mangsa melakukan hubungan seks.
“Mangsa yang juga pelajar di sebuah sekolah di Kota Bharu menceritakan telah dirogol oleh ayah kandungnya sejak berusia 12 tahun lagi.
“Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan hasil pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan lama yang mungkin disebabkan oleh tusukan objek tumpul.
“Susulan itu, pihak polis membuat tangkapan ke atas suspek yang juga penganggur bersangkut kes 324 Kanun Keseksaan.
“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau bagi kesalahan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan reman di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Jun ini bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek akan ditangkap semula bersangkut kes sumbang mahram selepas selesai reman di bawah Seksyen 324 KK.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebat,” katanya.