KUALA LUMPUR | Kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 10 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 dari 5 hingga 11 Jun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 20 peratus.
Katanya, jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 33.3 peratus, manakala jumlah pesakit kategori 3, 4 dan 5 meningkat sebanyak 9 peratus.
“Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 meningkat berbanding ME-22 iaitu penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak 8 peratus.
“Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 17 peratus dan katil PKRC meningkat sebanyak 200 peratus serta jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 20 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 11 Jun 2022 (ME 23/2022) kumulatif kes yang dicatatkan adalah 4,524,727 kes.
“Sementara itu, kumulatif kes sembuh adalah 4,466,305 kes dan kumulatif kematian sebanyak 35,711 kes. Kumulatif kluster pula 7,015 kluster dan empat kluster aktif,” katanya.