KOTA BHARU 13 Jun, 2022 – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun pembonceng motosikal maut semasa membonceng motosikal yang ditunggangi oleh ibunya bersama 2 lagi adik dan kakak setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya dengan sebuah motokar semasa dalam perjalanan menuju ke gerai bapanya yang menjalankan perniagaan satay di Kampong Baung, Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa, Kota Bharu di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Bin Daud berkata, dalam kejadian pada pukul 8.30 malam 12/6/2022 itu, ibu mangsa berusia 31 tahun menunggang sebuah motosikal Honda ACH bersama pembonceng yang merupakan anak-anaknya berusia 3, 6 dan 11 tahun dalam perjalanan dari arah Landak menuju ke Shell Baung. “Sebaik sampai di Chabang 3 Pengkalan Nangka, Landak berhampiran kedai menjual nasi kukus, mangsa telah memberhentikan motosikal yang ditungganginya dan kemudiannya meneruskan perjalanan keluar dari simpang menuju ke jalan utama, dengan tiba-tiba dilanggar oleh sebuah motokar yang dipandu oleh seorang wanita yang berjalan terus di sebelah kanan motosikal yang ditunggang mengakibatkan semua mangsa dan kenderaan tercampak serta terseret sejauh 10 meter masuk ke sebuah parit kosong berhampiran sebelah kanan jalan laluan bertentangan. Akibat dari kemalangan ini mangsa berusia 6 tahun mendapat kecederaan parah pada bahagian kepala dibawa ke zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan meninggal dunia semasa dalam rawatan manakala penunggang dan pembonceng yang lain turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki patah serta cedera di bahagian kepala dan tangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rosdi lagi, “Pemandu motokar Peugeot tersebut merupakan seorang kakitangan hospital berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam perjalanan dari arah Jalan Tok Guru menghala ke Kampong Chekok di laluan utama. Beliau tidak sempat untuk bertindak mengelak dari terlanggar motosikal tersebut akibat jarak yang terlalu dekat dengan kemunculan tiba-tiba motosikal mangsa dari simpang sebelah kiri dihadapan laluannya”. “Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Jabatan Forensik bagi tujuan bedah siasat. Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
KPD Kota Bharu