PASIR PUTEH | Dua bot nelayan asing Vietnam dilupuskan secara musnah pecah di Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Kelantan, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, kedua-dua bot ditahan melalui Op Damai dan Op Kuda Laut pada Februari sehingga April tahun lalu serta telah dilucut hak oleh mahkamah pada 30 November 2021.
Katanya, penahanan dua bot ini turut membabitkan tahanan 12 nelayan termasuk tekong warga Vietnam dengan rampasan 100 kilogram (kg) ikan, 30 kg gamat, 7,350 liter diesel termasuk peralatan navigasi serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM 2.06 juta.
“Kesemua kru termasuk tekong disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985. Nilai denda mahkamah bagi kesemua yang ditahan berjumlah RM 3.1 juta, namun mereka memilih untuk dipenjarakan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, tempoh hukuman penjara yang dikenakan antara lima hingga tujuh bulan.
Katanya, pada tahun ini, sebanyak lima buah bot dilupuskan melalui kaedah penenggelaman dan musnah pecah dengan nilai anggaran RM7.56 juta.
“Sejak 2007, sebanyak 18 bot dilupuskan secara musnah pecah dengan nilai anggaran RM26.06 juta. Secara keseluruhannya, Maritim Kelantan melupuskan sebanyak 251 bot nelayan asing Vietnam melalui pelbagai kaedah dengan anggaran nilai RM375.06 juta.
“Kedua-dua bot ini dilupuskan dengan kaedah musnah pecah memandangkan badan bot yang reput dan tidak sesuai dijadikan tukun tiruan,” katanya.
Maritim Negeri Kelantan sentiasa tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di perairan negeri Kelantan khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan perairan negara terpelihara.