KOTA BHARU | Perkembangan projek pembangunan di Kelantan sehingga Mei lalu adalah sebanyak 27.8 peratus atau RM665 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, perjalanan projek pembangunan di Kelantan berjalan lancar.
Katanya, pencapaian ini adalah lebih tinggi berbanding April lalu yang hanya mencapai sebanyak 14 peratus atau RM334 juta.
“Kesemua projek pembangunan yang diluluskan ini akan dipastikan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Selain itu, lebih RM1.5 bilion diluluskan untuk projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dilaksanakan melalui dua fasa utama.
“Fasa pertama membabitkan kos sebanyak RM656 juta dan dijangka siap pada 2024 yang merangkumi pembinaan ban banjir Sungai Golok sepanjang 26.2 kilometer (km), pembinaan pemecah ombak, ban Sungai Mentua sejauh 8.1 km, pagar Kuala Jambu dan penambahbaikan ban banjir Sungai Lanchang Lemal dengan jarak 19.8 km,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pengurusan Projek Pembangunan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mustapa berkata, fasa kedua PLSB diluluskan dengan kos sebanyak RM465 juta merangkumi pembinaan benteng tebatan banjir Rantau Panjang, pengambilan tanah dan beberapa komponen bukan fizikal yang dijangka siap pada 2028.
“Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri juga meluluskan permohonan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan PLSB Sungai Golok fasa dua dengan kos tambahan RM414 juta iaitu peningkatan RM465 juta kepada RM879 juta,” katanya.