PASIR MAS | Dua lelaki ditahan susulan kes rogol melibatkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang hamil tiga bulan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun iti masing-masing ditahan kelmarin dan semalam.
Katanya, ia susulan daripada laporan kes rogol mangsa bawah umur pada 9 Jun lalu.
“Lelaki berusia 18 tahun yang juga penuntut sebuah kolej di Kota Bharu ditahan di sebuah rumah di Kampung Sri Padang, Demit, Kubang Kerian, manakala suspek kedua berusia 20 tahun yang tidak bekerja ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat semalam.
“Hasil semakan, kedua-dua suspek tiada rekod lampau dan ditahan reman sehingga 15 Jun untuk siasatan mengikut Ssksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, remaja berusia 14 tahun disahkan hamil tiga bulan selepas dipercayai dirogol dua suspek secara berasingan di rumahnya di Pasir Mas.
Kejadian itu terbongkar susulan mangsa hadir ke Klinik Kesihatan di sini untuk mendapatkan buku rekod kesihatan ibu mengandung sebelum kes berkenaan dimaklumkan kepada polis.