PELABUHAN KLANG | Dua bot nelayan tempatan kelas C ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan 22 batu nautika barat daya Sungai Besar, Selangor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten V Maritim Siva Kumar berkata, dua bot nelayan itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk ketika rondaan rutin dan penguatkuasaan di sekitar perairan Selangor, semalam.
Katanya, bot nelayan pertama ditahan pada jam 1.30 tengah hari yang dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong.
“Bot nelayan kedua ditahan 15 minit kemudiannya yang dikendalikan empat kru warganegara Indonesia termasuk tekong.
“Kedua-dua bot nelayan tempatan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
“Kru kedua-dua bot itu berusia antara 22 hingga 62 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, bot, sembilan kru serta hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 700 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.
Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.