SHAH ALAM | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor telah melupuskan pelbagai barangan rampasan termasuk barangan tiruan dan pelbagai barangan lain berjumlah RM324,039.50.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, pelupusa itu dikategorikan sebagai Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor.
Katanya, ia membabitkan 27 kes bermula Januari sehingga Jun 2022 dengan nilai keseluruhan pelupusan kes adalah sejumlah RM324,039.50.
“Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor ini dilakukan di stor penyimpanan ekshibit KPDNHEP Selangor.
“Kesemua barangan yang dilupuskan adalah kes rampasan barangan yang melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Cap Dagang 2019.
Kesemua kes terlibat sudah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan selepas mendapat perintah kebenaran pelupusan dari mahkamah atau Pengawal Akta yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara barangan yang dilupuskan adalah melibatkan barang tiruan seperti cermin mata, telefon bimbit, kasut, selipar, sarung kaki atau stoking, baju, aksesori telefon bimbit, beg tangan, tudung dan lain-lain.
“KPDNHEP Selangor menegaskan kepada mana-mana peniaga untuk mematuhi peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan di bawah KPDNHEP.
“Sebarang perlakuan yang melanggar mana-mana peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan KPDNHEP tidak akan berkompromi dan boleh mengenakan tindakan perundangan yang sewajarnya,” katanya.