KOTA BHARU | Seorang penganggur dipenjara 14 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, di atas pertuduhan merogol adik kandungnya, November tahun lalu.
Tertuduh berusia 21 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa yang berusia 13 tahun ketika kejadian dan perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengan remaja itu.
Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah rumah di Ketereh, di sini, kira-kira jam 10 malam hingga 11 malam pada 1 November 2021 hingga 7 November 2021.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Fakta kes, tertuduh merogol adiknya pada November tahun lalu dan mengugut akan memukul mangsa sekiranya memaklumkan kejadian kepada orang lain.
Mangsa bersama ibunya kemudian pergi ke Klinik Kesihatan Lundang Paku, di sini, pada 28 April 2022 kerana tidak sihat.
Mangsa dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, sebelum pemeriksaan di Hospital Kajang, Selangor mengesahkan kanak-kanak itu mengandung.