KUCHING | Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya terhadap acara Gawai Dayak yang mempersembahkan tarian separuh bogel oleh gadis koboi yang dianjurkan di sebuah Hotel di Sibu baru-baru ini.
Ketua Penerangan PBDS, Andrew Bugie Ipang berkata, Gawai Dayak adalah peluang untuk mempamerkan warisan Dayak dan persembahan oleh gadis koboi berpakaian mini separuh bogel bukanlah salah satu daripadanya.
Katanya, persembahan sebegini tidak seharusnya dipersembahkan sebagai sebahagian daripada hiburan Gawai pada malam itu dan ia menunjukkan kurang rasa hormat dan sensitiviti terhadap kaum Dayak.
“Tidak perlu dikatakan, kaum Dayak berasa terhina dengan paparan sedemikian yang hanya sesuai untuk pub dan kelab malam.
“Penganjur seharusnya lebih peka terutamanya apabila persembahan sebegitu dilakukan sebagai sebahagian daripada sambutan Gawai pada malam tersebut.
“Selain itu, PBDS mahu Majlis Adat Istiadat Sarawak mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini dan memanggil penganjur untuk memohon maaf kepada semua kaum Dayak di akhbar tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Majlis Adat Istiadat Sarawak tidak seharusnya berdiam diri mengenai isu ini kerana PBDS mahu memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang pada masa hadapan.
Katanya, PBDS juga mahu Persatuan Tuai Rumah termasuk semua ketua masyarakat Dayak tampil mempertahankan kesucian perayaan Gawai Dayak dan ia tidak digunakan oleh orang lain sehingga orang lain hilang rasa hormat terhadap budaya dan kepercayaan.
“Kejadian ini telah menimbulkan persepsi negatif terhadap Gawai Dayak di kalangan masyarakat umum.
“Dalam hal yang sama, PBDS ingin bertanya sama ada Yang Berhormat Tiong akan menganjurkan persembahan yang sama semasa majlis makan malam menyambut Hari Raya atau Tahun Baru Cina? Ini pasti akan menimbulkan kekecohan di kalangan orang Islam dan Cina.
“PBDS berharap menteri-menteri dan Yang Berhormat Dayak menyuarakan rasa tidak senang Dayak terhadap perkara ini dan mencari jalan penyelesaian agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.