KOTA BHARU | Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan sengaja mencederakan jirannya dengan menggunakan sebatang kayu, 9 Jun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Koh Gee Doon, 64, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan jirannya, Hor Keng Wah, 69, dengan menggunakan sebatang kayu yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian atas kepala.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan rumah di Jalan Kelochor, Padang Kelochor di sini, jam 12.20 tengah hari, 9 Jun 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.