KUALA KEDAH | Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1.3 tan daun ketum dan menahan tiga lelaki warga tempatan di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah, pagi semalam.
Tiga lelaki berusia antara 33 hingga 39 tahun itu ditahan, manakala daun ketum dianggarkan bernilai RM234,000 dan sebuah bot nelayan kelas A bernilai RM70,000 dirampas pada jam 2.30 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat risikan berkaitan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sedang bergerak menuju keluar muara Kuala Kedah.
Katanya, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan dan bot terbabit berjaya dikesan pada jam 2.20 pagi sedang bergerak dalam keadaan gelap.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot namun berjaya dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia.
“Pemeriksaan mendapati, tiga lelaki warga tempatan berada di atas bot. Mereka ditahan bersama 130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.3 tan.
“Siasatan awal mendapati, tiga lelaki warga tempatan itu berasal dari kawasan berdekatan dan menerima upah sebanyak RM200 seorang bagi satu penghantaran,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar melalui jalan laut berikutan daun ketum telah dikeluarkan dari senarai dadah berbahaya di negara jiran dan mendapat permintaan serta harga jualan yang lebih tinggi berbanding di dalam negara yang hanya dijual RM30 sekilo.
Katanya, kesemua rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan itu. Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.
“Kes ini adalah tangkapan kedua membabitkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah.
“Walaupun telah banyak rampasan dilakukan sebelum ini, namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.
“Maritim Malaysia memandang serius jenayah ini dan akan terus memperhebatkan operasi serta pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Utara Semenanjung Malaysia,” katanya.