BACHOK | Bagi melahirkan ramai wanita yang terbabit dalam pertanian hidroponik, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berkerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan MAFI untuk tujuan itu.
Katanya, kerajaan juga mengambil peranan membantu memperkasakan wanita dalam bidang pertanian dan keusahawanan melalui pelbagai program, insentif dan latihan yang dianjurkan.
“Kerajaan banyak menyediakan platform kepada usahawan wanita untuk terus membangun seterusnya merancakkan ekonomi keluarga dan negara.
“Fokus juga diberikan kepada usahawan wanita kecil terutamanya suri rumah dan ibu tunggal kerana golongan ini memerlukan sumber pendapatan yang boleh dijana dari rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tinjauan Projek Tanaman Sayur Secara Hidroponik dan Tanaman Hijau oleh Komuniti Wanita di Rumah Tamu Bachok di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini, hari ini.
Rina berkata, bagi projek tanaman hidroponik dan tanaman hijau itu seramai lima peserta menjadi perintis di Kelantan dan akan dikembangkan lagi kepada 500 peserta di negeri ini.
Katanya, pihaknya juga bercadang untuk mengembangkan projek ini kepada wanita di seluruh negara untuk memastikan mereka memperoleh pendapatan yang tinggi bagi membantu membangunkan ekonomi keluarga.