KUALA LUMPUR | Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kononnya sebuah syarikat memberi wang tunai sebanyak RM1.3 juta pada Jun dan Ogos 2018.
Dalam satu kenyataan, Presiden BERSATU itu berkata dakwaan itu palsu semata-mata sehingga memberi gambaran bahawa beliau turut menerima sogokan.
Jelasnya, pada masa itu, beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
“Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018.
“Saya yang menjalani pembedahan kanser dan cuti menyebabkan tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
“Hal ini tersebar luas dalam media massa (lihat pautan: https://www.malaysiakini.com/news/433930). Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.
“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” menurutnya kenyataan itu yang dimuatnaik melalui akaun Facebook miliknya sebentar tadi.
Justeru, bekas Perdana Menteri itu menegaskan tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.
Katanya, beliau juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini.
“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.
“Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini,” katanya.