JOHOR BAHRU | Bagi memperkukuhkan pengoperasian penguatkuasaan dan Carilamat di sepanjang perairan semenanjung Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima 30 bot jenis Rigid Hull Fender Boat (RHFB) kelas Perkasa bernilai RM46.5 juta.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, 30 unit bot pemintas ini, memiliki ukuran panjang 12 meter dengan 3 enjin berkapasiti 350 kuasa kuda setiap satu dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 48 knot.
Katanya, bot ini memiliki reka bentuk yang stabil dan mudah dikendalikan selain memiliki platform persenjataan untuk kegunaan anggota menggendalikan senjata ketika di atas bot.
“Sebanyak 27 bot Perkasa diagihkan kepada beberapa Maritim Negeri di Semenanjung Malaysia bagi memperkasakan lagi penguatkuasaan di perairan negara dengan tujuh bot Maritim Negeri Johor, masing-masing dua bot Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Selangor serta Kelantan, tiga bot Maritim Negeri Perak, dua bot Maritim Negeri Pulau Pinang, enam bot Maritim Negeri Kedah dan Perlis, dua bot Maritim Negeri Pahang dan satu bot Maritim Negeri Terengganu.
“Baki tiga bot akan diterima pada Ogos ini (2 bot untuk Maritim Negeri Terengganu dan 1 bot untuk Maritim Negeri Kelantan).
“Keutamaan agihan bot pemintas ini diberikan kepada Maritim Negeri yang terdedah kepada ancaman aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, dadah dan sebagainya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, 30 bot pemintas ini dinamakan sebagai ‘Kelas Perkasa’ selaras dengan perolehan aset baharu ini berikutan keperluan bagi memperkasakan penguatkuasaan sedia ada.
Beliau berkata, sejak Januari hingga 10 Jun lalu, Maritim Malaysia melakukan 442 tangkapan atas pelbagai kesalahan melibatkan pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan kontraband dan barang kawalan, Akta MSO dan lain-lain dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM 55.8 juta.
Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin.