IPOH | Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya Ipoh dilanda banjir kilat petang ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir melanda di pusat beli-belah Aeon Kinta City, Canning Garden dan Taman Cempaka bermula jam 4.08 petang tadi.
“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Simpang Pulai segera dikerahkan bagi kerja menyelamat serta memantau keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati terdapat kereta yang terperangkap dalam kawasan banjir dan beberapa rumah dinaiki air, namun paras air mulai surut pada kira-kira jam 5 petang.
“Semua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan setakat ini,” katanya. – SUMBER: BERNAMA