KOTA BHARU | Pencerobohan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, dekat Gua Musang, akan disiasat.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung pencerobohan balak yang didakwa berlaku di kompartmen 25 HSK berkenaan.
“Kertas siasatan dibuka selepas sehari kejadian (tular di media sosial) dan pihaknya belum mendapat laporan lengkap berhubung dakwaan itu. Perkara ini dalam proses siasatan dan saya tidak boleh komen lebih-lebih.
“Kertas siasatan mula dibuka sehari selepas kejadian (tular) dan saya belum mendapat laporan lengkap daripada pegawai penyiasat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Seminar Ekspedisi Saintifik Pergunungan Lojing Negeri Kelantan 2022 di sini, hari ini. Seminar berkenaan akan diadakan selama tiga hari bermula hari ini yang dihadiri lebih 100 orang.
Abdul Khalim berkata, pihaknya juga menyita kayu-kayu di kawasan hutan itu.
“Dekat kawasan situ ada dua lesen dan kedua-dua lesen itu kita sudah keluarkan waran memberhentikan kerja,” katanya.