GEORGETOWN | Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sebuah kumpulan jenayah terancang yang bergiat aktif sejak tahun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, kumpulan terbabit ditangkap menerusi Op Cantas Tanjung (III).
Katanya, operasi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dibantu oleh Bahagian Jenayah Terancang (D14), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada 24 Mei lalu.
“Seramai 11 orang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita berumur antara 29 tahun hingga 61 tahun telah berjaya ditangkap di sekitar Pulau Pinang.
“Kumpulan ini dipercayai menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran serta memiliki senjatapi dan telah bergiat aktif sejak tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kesemua tangkapan telah ditahan reman di bawah SOSMA bermula 24 Mei lalu.
Katanya, turut sama terlibat dalam kumpulan ini adalah empat lelaki yang kini ditahan reman di Penjara Pulau Pinang dan Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
“Hari ini, kesemua mereka iaitu seramai 12 lelaki dan dua wanita telah dituduh mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menggangotai sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.