KUALA LUMPUR | BERSATU membidas tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang enggan melepaskan jawatannya lagi selepas keluar dari parti itu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris menggesa Zuraida meletakkan jawatannya secara sukarela dan tidak menyusahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai jawatan itu.
“Komen saya pada Zuraida, patut Zuraida tak payah menyusahkan Perdana Menteri.
“Tak payah susahkan Muhyiddin. Patut Zuraida letak jawatan. Dia letak jawatan dan serah pada Perdana Menteri untuk lantik sesiapa sahaja yang Perdana Menteri suka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Razali juga menyifatkan Zuraida telah menyusahkan ramai pihak hasil tindakannya menyertai parti lain dan tidak mahu meletak jawatan dalam Kabinet.
“Zuraida khianati BERSATU dan pergi buat parti senyap-senyap.
“Lepas itu dia tak nak letak jawatan. Jadi menyusahkan.
“Contohilah pemimpin BERSATU yang keluar UMNO sebelum ini dan lawan UMNO,” katanya.
Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama BERSATU sebelum mengumumkan keluar parti itu, pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan kemudian diumumkan sebagai “pengganti presiden” atau bakal presiden PBM, pada 8 Jun.
Bagaimanapun, Muhyiddin sudah berhubung dengan Perdana Menteri untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang berkenaan sebagai anggota Jemaah Menteri.
Muhyiddin berpandangan Zuraida wajar diganti kerana jawatan disandangnya kini adalah atas kuota BERSATU. SUMBER: BERITA BERSATU