KUALA LUMPUR | Kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada kemungkinan ada pertambahan terutamanya apabila harga minyak kelapa sawit meningkat.
Katanya, ini lebih tinggi berbanding subsidi yang lepas iaitu RM500 juta pada 2020 dan 2.2 bilion pada 2021.
“Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan adalah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan yang melebihi daripada keperluan pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.
“Walaupun keperluan 55,000, tetapi kerajaan telah memberi subsidi 60,000 tan metrik iaitu lebihan sebanyak 5,000 tan metrik.
“Subsidi yang ditanggung kerajaan adalah kategori minyak paket dengan harga RM2.50 sekilogram berbanding harga pasaran sebenar RM9 bagi satu kilogram untuk kegunaan domestik atau rumah terutama golongan B40,” katanya pada sidang media khas yang disiar secara langsung di sini, hari ini.
Beliau berkata, subsidi berkenaan bermula sejak Jun 2007 lagi dan masih lagi dilaksanakan oleh kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak dan tidak betul.
Ismail Sabri berkata, namun ketika pandemik COVID-19, kerajaan memperkenalkan subsidi sementara untuk minyak masak botol bagi satu kilogram, dua kilogram, tiga kilogram dan lima kilogram pada Ogos 2021.
“Tujuannya untuk membantu rakyat ketika itu yang berada dalam kesusahan sewaktu pandemik COVID-19. Program subsidi ini adalah sementara untuk tiga bulan dengan kos sebanyak RM55 juta sebulan.
“Walau bagaimanapun, kerajaan mendapati bahawa minyak masak berbotol bersubsidi ini banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan diseludup.
“Sepatut tiga bulan, namun kerajaan terus sambung untuk beberapa tempoh lagi. Jadi melihat kepada penyelewengan yang berlaku dan sebagainya, maka kerajaan membuat keputusan iaitu tiada keperluan lagi untuk meneruskan minyak masak subsidi berbotol kerana tidak lagi menepati objektif untuk kita perkenalkan kerana tujuan kita perkenalkan adalah untuk membantu rakyat ketika pandemik,” katanya.
Menurutnya, di fasa endemik ini rakyat sudah bebas keluar dan sebagainya, jadi tiada keperluan lagi berbanding sewaktu pandemik COVID-19 dan sebab itu kerajaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan subsidi minyak berbotol.
Kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran RM700 juta bagi subsidi ayam dan telur untuk menstabilkan harga.