KUALA LUMPUR | Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan bersetuju melantik mantan Ketua Pengarah JAKIM dan mantan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sebagai Pengerusi JKMMS, Tan Sri Othman Mustapha.
Katanya, kerajaan amat yakin dengan kewibawaan serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam akan membantu usaha-usaha kerajaan untuk memperkukuhkan institusi kehakiman syariah.
“Kerajaan juga bersetuju melantik 12 orang tokoh sebagai ahli JKMMS iaitu Mantan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha; Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Sri Mohd Shafiq Abdullah.
“Selain itu, turut dilantik Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Hakim Syarii, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.
“Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Ahmad Hidayat Buang; Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang; Peguam Bela/Peguam Cara/ Peguam Syarie, Datuk Sulaiman Abdullah; Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Nassir Abdul Aziz,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan amat yakin dengan gabungan kewibawaan ahli-ahli yang dilantik untuk bersama-sama membuat kajian, memberikan syor dan cadangan serta usaha-usaha ke arah penambahbaikan dan transformasi
mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli yang dilantik. Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah.
“Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya.