PUTRAJAYA | Kerajaan secara prinsipnya telah bersetuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.
Katanya, selaras dengan keputusan tersebut satu perjumpaan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah diadakan pada 20 Jun 2022.
“Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) diminta mengkaji dan meneliti syor-syor yang telah dikemukakan serta satu draf Rang Undang Undang (RUU) berkaitan pindaan akan disediakan oleh pihak Jabatan Peguam Negara.
“Dalam masa yang sama, sesi libat urus turut akan diadakan bersama pakar-pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai perkara ini sebelum dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mas Ermieyati berkata, kerajaan amat berterima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam perkara ini dan berharap RUU ini dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.