CYBERJAYA | Tiga syarikat telekomunikasi diberi maklum balas notis Arahan Suruhanjaya kerana gagal memenuhi piawaian perkhidatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata, kualiti yang kurang memuaskan itu dikenalpasti di Langkawi dan beberapa kawasan pelancongan.
Katanya, SKMM telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di bawah Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) di 3,038 lokasi di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.
“Kesemua lokasi ini dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima oleh SKMM.
“Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun lalu,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei menuntut ketiga-tiga syarikat itu untuk membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi MSQoS.
Katanya, kegagalan syarikat telekomunikasi dalam memenuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 mengikut seksyen 109, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).
“Aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan oleh pihak SKMMbagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.
“Bermula pada tahun 2021, SKMM telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri di mana salah satu penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan.
“Selain daripada itu, SKMM turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar, jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi.
“SKMM akan terus komited untuk memastikan rakyat di negara ini terus terhubung dan berupaya bagi memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi,” katanya.