PELABUHAN KLANG | Tiga kru warganegara Indonesia yang dipercayai menjadi ejen laut dan menaiki bot tongkang kayu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di perairan Jeram di sini, pagi tadi.
Mereka yang berusia antara 28 hingga 59 tahun ditahan sekitar jam 1.16 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Sivakumar berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia yang berpangkalan di Area Control Centre (ACC) Klang mengesan satu vesel mencurigakan sedang bergerak di perairan Pulau Angsa menuju ke Sungai Janggut pada jam 11.38 malam, semalam.
Katanya, bot Perkasa 35 yang dalam rondaan rutin diatur gerak ke lokasi untuk mengesan dan memintas sasaran.
“Sekitar jam 1 pagi, pihak kita tiba di lokasi dan bertembung bot berwarna biru dengan tanda nama Km Nabila Jaya 1 disyaki suspek, lalu mengarahkannya untuk berhenti.
“Pemeriksaan awal mendapati, bot kayu itu dikendalikan seorang tekong dan dua kru warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Berdasarkan soal siasat pasukan operasi di lokasi, ketiga-tiga suspek dari perairan Indonesia disyaki ejen laut. Bot serta tiga kru itu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan melakukan kesalahan memasuki perairan negara melalui jalan yang tidak diwartakan.
Katanya, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya bakal diambil demi memastikan keamanan perairan negara sentiasa terpelihara.