KUALA LUMPUR | Malaysia dijangka membelanjakan sebanyak RM77.3 bilion ringgit dalam bentuk subsidi dan bantuan tunai tahun ini, jumlah terbesar dalam sejarah, untuk membantu meredakan kesan kenaikan harga.
Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan pada Sabtu (25 Jun) menegaskan bahawa negara ini diunjurkan untuk membelanjakan sebanyak RM51 bilion untuk subsidi pengguna termasuk bahan api, elektrik dan makanan, dengan mengandaikan harga pasaran komoditi kekal pada paras semasa.
“Unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.
“Kerajaan juga akan mengagihkan RM11.7 bilion bantuan tunai, dan RM14.6 bilion ringgit dalam subsidi lain,” katanya. Tambah Zafrul, unjuran subsidi untuk 2022 itu adalah jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa.
Menurutnya lagi, kerajaan peka dengan harga barangan yang telah melonjak di Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini akibat gangguan rantaian bekalan, kekurangan buruh dan kesan perang di Ukraine.
Terdahulu, kerajaan Malaysia pada Rabu (22 Jun), berkata ia akan mengagihkan sebanyak RM1.74 bilion pada bulan ini untuk membantu isi rumah menghadapi peningkatan kos makanan dan sara hidup. – SUMBER: HARAKAH