KUALA LUMPUR | Kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang berkata tidak akan kerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengesahkan mereka yang menolak perpaduan.
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata selepas ini golongan ‘pencinta’ kleptokrat dalam UMNO tidak perlu berhelah lagi seolah-olah mahukan perpaduan.
“Lengkap dengan alasan-alasan yang baru dicipta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 21 Jun lalu, lapor Berita Harian, Shahril mengulangi pendirian Umno tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagaimana dimuktamadkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Shahril berkata terdapat beberapa asas yang jelas mengapa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan BERSATU termasuk menerusi Muafakat Nasional (MN).
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, BERSATU juga tidak jujur dalam kerjasama sebelum ini.
Wan Saiful turut mempersoalkan adakah kenyataan Shahril itu pandangan rasmi MN setelah dibawa bermesyuarat.
Beliau juga berkata adakah kenyataan itu hanya dibuat oleh pencinta kleptokrat memandai-mandai cipta alasan tanpa bermesyuarat.
“Kluster mahkamah UMNO memang terkenal dengan perangai ‘Abang Long’ yang mendominasi keputusan, berlagak seperti suara mereka adalah suara semua.
“Bila pula MN putuskan sedemikian, atau unilateral sahaja,” katanya.
Wan Saiful juga berkata sebelum ini didakwa Perikatan Nasional (PN) tertubuh sehingga tak jadi bermuafakat.
Katanya, sedangkan PN mula berfungsi sejak Februari 2020 dan didaftarkan pada 7 Ogos 2020.
“Surat jemputan masuk MN pula bertarikh 13 Ogos 2020.
“Maksudnya jemputan tu selepas PN sudahpun ditubuhkan. Kalau betul tak setuju PN ditubuhkan, kenapa jemput masuk MN selepas PN tertubuh.
“Masa boss kamu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tandatangan surat jemputan, dia terlupa bahawa dia sepatutnya marah ke,” katanya.
Wan Saiful juga berkata jika mahu cipta alasan bagi pihak Zahid, beliau meminta golongan kleptokrat itu periksa tarikh jemputan kepada MN.
“Jangan senang sangat kantoi. Walau apa pun, ini bukti tuntas bahawa yang menjadi masalah dan menghalang perpaduan ialah pencinta kleptokrat dan pengikut kluster mahkamah. Jangan nak salahkan orang lain pula.
“Apa lagi alasan dan cerita yang nak direka-reka selepas ini,” soalnya. SUMBER: BERITA BERSATU