PELABUHAN KLANG | Dua kapal korek yang berlabuh tanpa kebenaran ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di perairan Kuala Selangor semalam.
Kapal berkenaan ditahan pada jam 11 pagi oleh Bot Perkasa 36.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, operasi dilakukan bersama dua anggota Jabatan Laut Pelabuhan Klang bagi pemeriksaan terhadap dua kapal korek yang berlabuh tunggu di perairan pantai Acheh.
Katanya, kedua-dua kapal dikesan berlabuh tunggu tanpa kebenaran oleh Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika timur pantai Acheh.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal korek dikendalikan dua warga tempatan dan empat warga Indonesia.
“Manakala satu kapal lagi terdiri daripada 13 warga tempatan, empat warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan seorang warga Filipina yang kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 491 B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan dibaca bersama Kaedah 10 (1) Peraturan Pelabuhan Persekutuan 1953 (Report of arrival) yang mana boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali serta mana-mana kesalahan lain di bawah Akta Persekutuan bagi kesalahan kedua.
Menurutnya, kapal, nakhoda dan semua kru kedua-dua kapal korek itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di perairan Selangor.