KUALA LUMPUR | Malaysia dan Australia memberi komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala menerusi Rakan Kongsi Strategik Komprehensif (CSP).
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menzahirkan rasa puas hati terhadap pertumbuhan positif bagi kerjasama dua hala dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam era pasca pandemik COVID-19.
Beliau dan rakan sejawatannya dari Australia, Penny Wong membincangkan tentang perkembangan CSP, di mana ia meliputi tiga tonggak utama, antaranya kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi serta kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau.
“Dari segi ekonomi, Malaysia menumpu kepada ekonomi digital, manakala dalam segi masyarakat dan teknologi, kami bersama-sama menekankan kepentingan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Mengenai isu pertahanan dan keselamatan serantau, saya menekankan peranan keselamatan siber dalam kerjasama ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Wong mengadakan mesyuarat dua hala.
Saifuddin berkata, mereka juga bertukar pandangan tentang pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama, khususnya krisis di Myanmar, di mana beliau menghargai bantuan kemanusiaan Australia di Myanmar.
“Dalam peringkat serantau, Malaysia menghargai sokongan Australia terhadap ASEAN. Australia adalah rakan dialog ASEAN yang pertama pada 1974 dan sejak itu telah menyumbang secara aktif kepada ASEAN.
“Peningkatan hubungan ASEAN-Australia ke tahap CSP adalah penting. Malaysia yakin usaha kerjasama CSP akan menyumbang secara signifikan ke arah kemajuan dan pertumbuhan yang mampan di rantau ini selepas wabak COVID-19.