BANGKOK | Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan untuk memperkasa wanita dan remaja luar bandar menerusi industri kotej di bawah program Wanita Bangkit sebagai usaha membantu mereka berdikari menjana kewangan dan menerokai pasaran global.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata perkampungan Don Kai Dee Benjarong di Samut Sakhon, Thailand terkenal dengan penghasilan ‘benjarong’ (porselin Thai dicat) selama lebih 30 tahun, merupakan model hebat memperkasakan golongan wanita untuk menjana pendapatan.
“Ia juga merupakan satu inisiatif untuk mengekalkan budaya dan tradisi unik, selain dapat mengisi masa lapang.
“Dengan lawatan ini (ke kampung Benjarong), kami mahu mengkaji model sedia ada untuk disesuaikan ke dalam program Wanita Bangkit MyKasih Capital,” katanya kepada Bernama.
Industri kotej memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi, ia memberi peluang kepada wanita untuk bekerja dari rumah, kata Rina.
Rina melawat Perkampungan Benjarong Don Kai Dee di Samut Sakhon pada Ahad.
Komuniti Ban Don Kai Dee ialah sebuah perkampungan yang menghasilkan porselin yang dicat menggunakan lima warna berkualiti tinggi sejak beberapa generasi.
Hari ini, pembuatan benjarong semakin meluas dari penghasilan mangkuk hingga ke peralatan serta hiasan rumah.
Sementara itu, Rina berharap program MyKasih Kapital kementerian yang mula dilaksanakan pada Mac tahun kepas sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa dapat memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan wanita.
“Kami berharap dapat memperkasa lebih ramai usahawan wanita di negara ini untuk mengorak langkah ke peringkat global,” katanya sambil menambah bahawa kisah kejayaan usahawan wanita seharusnya memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita dan remaja menceburi bidang keusahawanan.
MyKasih Kapital merupakan inisiatif yang menyediakan kursus bimbingan sebagai persediaan asas kepada peserta wanita melengkapkan diri sebelum menceburi bidang keusahawanan.
Para peserta dibekalkan RM500 untuk memulakan perniagaan.
Di bawah inisiatif ini, peserta akan dinilai, dipantau dan dikehendaki mengikuti kursus yang bersesuaian sebagai persediaan menceburi bidang perniagaan.
Minggu lalu, Rina berkongsi inisiatif pemerkasaan wanita Malaysia – Wanita Bangkit pada Sidang Kemuncak Global 2022 Meja Bulat Menteri Wanita.
Wanita Bangkit yang dilancarkan pada September tahun lalu adalah cetusan idea Rina, bertujuan menghulurkan bantuan kepada wanita yang bergelut menampung kehidupan semasa pandemik COVID-19.
Inisiatif itu mendapat pujian pada sidang kemuncak berkenaan kerana memberi impak kepada wanita.
Presiden GSW, Irene Natividad berkata Wanita Bangkit adalah program hebat yang melatih wanita memulakan perniagaan mereka dan berdikari menjana ekonomi. SUMBER: BERITA BERSATU