KUALA LUMPUR | Presiden sebuah parti politik dan seorang lagi lelaki ditahan berhubung sindiket penipuan kad data maklumat yang diberi kepada orang bukan warganegara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, individu yang ditahan ialah Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohd Arshad Abdul Mualap, 48, dan seorang lagi individu, Mohamad Amkah Ahmad, 46.
Katanya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Saya nak maklumkan kes penipuan penggunaan kad data maklumat orang bukan warganegara yang digunakan oleh satu sindiket.
“Isu ini dibangkitkan oleh banyak rakyat Malaysia di seluruh negara bukan saja di Sabah, Sarawak, malah di Semenanjung.
“Seolah-olah kad ini kononnya boleh digunakan dalam negara kita dan pemegang kad ini boleh faedah sama ada masuk hospital. Sindiket ini seolah-olah orang yang pegang kad ini boleh diberi kad pengenalan warganegara,” katanya menerusi sidang media khas yang disiarkan secara langsung di laman Facebook KDN di sini, hari ini.
Beliau berkata, satu unit khas yang ditubuhkan untuk membantu membuat siasatan terhadap kes itu.